Peperiksaan merupakan satu kemestian bagi setiap yang
bergelar pelajar; merupakan medan untuk menentukan kelayakan dan
kemampuan seorang pelajar dalam memahami apa yang telah dipelajari.
Perlumbaan untuk mendapatkan keputusan yang baik merupakan satu lumrah
yang amat baik sekiranya berlaku dalam suasana yang sihat. Sebaliknya,
perlumbaan juga boleh menjadi punca tekanan dalam diri pelajar sekiranya
tidak menghadapinya dengan betul.
Tekanan boleh berlaku disebabkan banyak faktor.
Antaranya, yang paling penting adalah cara belajar seseorang itu.
Pelajar yang melakukan persediaan awal akan lebih bermotivasi untuk
menghadapi peperiksaan. Kelalaian yang berlaku di awal musim pengajian
boleh menjadi punca berlakunya tekanan bagi kebanyakan pelajar. Justeru,
pengurusan masa yang efektif amat penting terutama dalam menghadapi
detik-detik akhir sebelum menjelang hari peperiksaan.
Begitu juga tekanan boleh berlaku disebabkan suasana
persekitaran tempat belajar yang tidak kondusif. Bayangkan anda berada
dalam linkungan masyarakat yang pelajar yang tidak mampu bekerjasama
meskipun sama-sama inginkan kejayaan dalam peperiksaan yang mendatang.
Selain itu, tekanan daripada harapan kedua orang tua
untuk melihat kejayaan anaknya juga kadang-kadang boleh menjadi
penyumbang. Harapan sebegini jika dilihat dari sudut yang positif,
sebenarnya boleh menjadi suatu bentuk motivasi yang cukup kuat. Namun
jika ia dianggap sebagai suatu bentuk tekanan akan menyebabkan pelajar
mudah stres sehingga mewujudkan keserabutan dalam pemikiran pelajar.
Dalam keadaan ini , seorang individu itu berkemungkinan melakukan
tindakan yang luarbiasa dan yang paling menakutkan- bunuh diri.
Menghadapi tekanan peperiksaan atau perlumbaan menuntut
kepada spiritual dan mental yang jitu. Spiritual dan mental yang lemah
akan menyebabkan pelajar mudah mengaku kalah sebelum berjuang- putus
asa. Kekuatan mental lahir dari sikap dan pemikiran yang optimis serta
stabil dalam berusaha mencapai matlamat yang diinginkan.
Manakala kekuatan spiritual pula, bagi status kita
sebagai pelajar muslim lahir dari hubungan kita dengan Yang Esa.
Justeru, Perbanyakkanlah berzikir, tadabbur al-Quran dan merenung
keindahan pada penciptaan alam sebagai salah satu cara mencari
ketenangan jiwa. Sentiasalah berbaik sangka dengan keadilan Allah
azzawajalla. Namun, sekiranya kita masih tidak mendapat keputusan yang
baik walaupun selepas berusaha, yakinlah di sana ada hikmah yang lebih
berharga. Letakkanlah pengharapan kita semata-mata kepada Allah (swt)
dengan syarat kita telah menyempurnakan tanggungjawab kita dalam
berusaha kerana demikianlah hakikat tawakkal.
Semoga kejayaan yang diimpikan berada di tangan kita bersama-sama redha dari Yang Esa.
No comments:
Post a Comment