LARANGAN
penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan
di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes dalam kalangan
pelajar adalah langkah tepat ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan
bebas daripada penyakit berpunca daripada pengambilan makanan tidak
seimbang. Pihak sekolah juga akan memantau Indeks Berat Badan (BMI)
pelajar bagi menentukan tahap kesihatan mereka, yang direkodkan dalam
kad laporan masing-masing. Ia bertujuan melihat keadaan pelajar
berkenaan sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur.
Kedua-dua langkah terbaru itu diputuskan oleh Kabinet 4 April lalu dan
ia pastinya dialu-alukan oleh ibu bapa, sekali gus menunjukkan
keprihatinan kerajaan dalam usaha membendung masalah obesiti di
kalangan pelajar. Keputusan itu dibuat kerana kajian Kementerian
Kesihatan mendapati lebih 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit
tidak berjangkit dan 60 peratus daripadanya adalah remaja berusia 18
tahun ke bawah yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah dan menengah
yang mengalami obesiti serta diabetes. Dalam usaha menangani masalah
berkenaan, Kabinet memutuskan bahawa semua minuman berkarbonat dan
makanan mengandungi gula berlebihan dilarang dijual di kantin sekolah,
berkuat kuasa serta-merta. Larangan itu turut dikenakan ke atas penjaja
yang berniaga di luar pagar sekolah kerana menjual makanan kurang zat,
tinggi kandungan gula dan lemak kepada pelajar selepas waktu
persekolahan. Sebahagian besar penjaja ini juga menjual makanan ringan
dan minuman yang diperbuat dengan bahan murah serta menggunakan pewarna
tanpa mengikut piawaian yang dibenarkan.
Menerusi
langkah yang diputuskan itu, pegawai Kementerian Kesihatan dan
Kementerian Pelajaran akan memantau peniaga yang menjual makanan ringan
tidak berzat dan memudaratkan di kantin dan luar sekolah seperti yang
diumumkan kelmarin. Sebelum ini isu berkenaan sering dibangkitkan dalam
mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak
pengurusan sekolah kerap memberi alasan bahawa mereka tidak ada kuasa
untuk menghalang peniaga daripada berniaga di luar pagar sekolah dan
hanya pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menghalang peniaga
terbabit. Kita memahami kekangan yang dihadapi pihak pentadbiran sekolah
dan berharap dengan adanya ketetapan terbaru kerajaan ini, pihak
sekolah akan dapat bertindak secara proaktif dengan menyalurkan maklumat
kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. Amalan pemakanan
tidak sihat ini boleh menyebabkan pelajar berasa letih dan tidak
bermaya dan sering tertidur di dalam kelas. Sebaliknya, makanan yang
seimbang sudah tentunya akan menyebabkan badan dan otak menjadi cergas,
dan ini akan membantu pelajar membaiki prestasi mereka dalam
pelajaran. Namun, langkah membendung kegemukan dalam kalangan pelajar
ini juga perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa
perlu memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan dan minuman
berkhasiat dan tidak menggemukkan. Sebagai panduan kepada ibu bapa bagi
memantau pertumbuhan dan pemakanan anak mereka, Kabinet juga
memutuskan agar guru mengukur data berat badan serta ketinggian pelajar
dan kemudian mencatatkannya di dalam buku rekod. Selain itu, guru akan
mencatatkan cadangan kepada ibu bapa langkah yang boleh diambil untuk
mengurangkan obesiti pelajar. Langkah ini penting bagi mengelakkan
risiko penyakit mudarat yang mungkin dihidapi pelajar pada usia masih
muda, seperti masalah buah pinggang, darah tinggi, kardiovaskular,
strok dan kanser. Langkah ini diharap dapat membantu mengubah cara
hidup rakyat dengan mengamalkan budaya pemakanan seimbang.
No comments:
Post a Comment