Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini
mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya
langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki
sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan
kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media
massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah
SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat
kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi! Katakanlah
kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang
mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas
(muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar
dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu."
(al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju
kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah
apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya,
misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh
laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di
atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk
melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang
boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara
zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara
(‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka
kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat
tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana
bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi
perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul
dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka,
sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana
sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan
penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik
perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka
berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit
pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu
target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai
kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan
disakiti.
Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum
wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah
SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya
: "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa
mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab
Zikir & Doa )
Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia
berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat
wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah
pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu,
Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam
hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah
hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan
apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya
: " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat
tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu
boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan
barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian
wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia
adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT:
ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke
dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI
APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung),
iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa
yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu
belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap
perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian
dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh
membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh
orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu
apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik
berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun
buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam
ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya
menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan.
Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh
karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa
terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti
Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu
adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah
sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita,
bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka
dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama
Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun
Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang
sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak
gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah.
Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih
diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut
Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang
biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai
gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk
berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai
kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu
semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi
jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin
seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan
perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga
meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini.
Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang
sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua
jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat
seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan
mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan
perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga
(anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai),
perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain.
Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada
rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan
al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang
membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah
pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya
tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan
sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada
dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya
itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai
buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang
berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan
mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar
punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat
akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh
perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)
Mereka
dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada
tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup
aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu
tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan
pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof
Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta
yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan
seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik
keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman
sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan
pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula
apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini
Larangan Nipis
Saidatina
Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah
masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya.
Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'!
Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya),
tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil
ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun
terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis
lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini
tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa
melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat,
selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya
adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya
: Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di
sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah,
Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut
Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh
dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para
sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para
sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond
Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa
At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan
dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk
berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian
menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN
KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi
memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada
menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi
nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian
canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu
dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan
lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita
itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari
Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah
dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya
ada penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan
dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu
remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan
usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat
diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat,
maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak
luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar
nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan
mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada
disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka
Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan
kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf :
20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
"
Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh
menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat
jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja
yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru
barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia
menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan
dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia
juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT
menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali
(sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas, menunjukkan salah
satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai
penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar
Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d)
Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam. Kita dapat memerhati
bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti
meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya.
Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan
restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat
melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di
PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat
mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke
kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu
agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap
menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari
hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan
kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat
perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian
yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan
logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Saya
kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup
dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya"
(Al-Mulk : 2)
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan ini
kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya.
Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa
bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta
mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.
Benarkah
hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam
Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah
dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya
Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi
melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati
bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya
berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam
dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang
pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu
kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan,
lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja
kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"
Adakah
anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah
SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar
perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah
ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran
kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah
bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam
itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu,
dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah
hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca
Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari
tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak
dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya.
Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka
adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca
luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya
bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk
sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain
cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu
‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما
أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ,
فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع
له قطعة من النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan
kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan
mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya,
maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja.
Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak
yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka
jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api
neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar,
8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang
hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir
yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa
menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana
mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita
perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang
melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang
beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu,
tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya.
Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan
aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya
: Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan
dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." (
Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti
mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di
hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si
wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang
memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah
gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha
adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan
mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali
; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan
Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih
seolah meraguinya.