Friday 24 February 2012

PUNCA-PUNCA PELAJAR PONTENG SEKOLAH


Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.

         Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.

Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.

Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.

Thursday 23 February 2012

JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT


Pada zaman globalisasi ini, orang yang tinggal paling dekat dengan kita adalah jiran dan sebab itulah jiran menjadi orang yang paling dekat dengan kita. Oleh sebab itu, jiran merupakan orang yang pertama kita meminta tolong sekiranya kita ditimpa musibah seperti kebakaran, kematian, dan malapetaka yang lain. Pada waktu inilah, pertolongan orang lain, khususnya jiran amat diharapkan.
Jiran pula boleh dikategorikan sebagai jiran yang baik atau jiran yang kurang baik. Seseorang itu akan menjadi untung jikalau mendapat seorang jiran yang baik dan itulah menjadi kemahuan orang ramai. Semua anggota masyarakat dikehendaki mengamalkan cara hidup seperti “aur dengan tebing” untuk keberkatan dalam kehidupan. Dengan cara inilah, masyarakat dapat mengamalkan semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap masalah yang terlibat oleh jiran. Masyarakat juga akan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh jiran serta berusaha untuk mengatasi masalah tersebut bagi meringankan beban jiran yang ditanggungkan oleh mereka.
Selain itu, pertolongan daripada jiran amat diperlukan apabila kita hendak mengadakan majlis kenduri perkahwinan ataupun majlis rumah terbuka. Walaupun pengurusan ini dapat diuruskan oleh upah atau kontrak, kehadiran jiran dapat memeriahkan suasana majlis tersebut. Apabila seseorang itu tidak bergaul dengan orang yang lain, apabila dia hendak mengadakan sesuatu majlis, siapakah yang dia akan jemput? Dia akan berasa sukar untuk membuat keputusan untuk menjemput masyarakat setempatnya.
Seterusnya, di mana kita tinggal, kita perlu mempunyai jiran yang baik kerana jiran akan menjadi tempat yang kita memohan bantuan sekiranya kita ditimpa susah dan tempat yang bergembira ketika kita senang. Jadi, jikalau kita ingin memdapatkan jiran yang baik, kita haruslah menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik.
Kesimpulannya, kehadiran jiran amat bermakna dalam kehidupan kita. Oleh itu, jadikanlah kita sebagai jiran yang baik supaya tidak mengamalkan sikap “seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. keharmonian dan keamanan bermula di rumah dapat diikuti dengan kehidupan berjiran yang baik.
Penulis: Sin Yong

KEGIATAN KOKURIKULUM MERAPATKAN HUBUNGAN PELAJAR DAN GURU


Kegiatan luar bilik darjah juga dikenali dengan nama akitiviti kokurikulum. Pihak kerajaan memberi galakan aktiviti ini untuk membantu pembelajaran di bilik darjah menjadi lebih efektif pula. Oleh itu, hubungan guru dengan pelajar pasti menjadi baik melalui aktiviti sebegini pula.
Aktiviti sukan dan permainan menyebabkan pelajar akan saling membantu untuk memperoleh kemenangan dalam sesuatu acara itu. Tindakan bekerjasama ini secara tidak langsung menjadikan mereka rapt antara satu sama lain. Jadi, hubungan sesame ahli pasukan akan menjadi lebih erat melalui acara sukan sebegini.
Manakala dalam aktiviti pasukan beruniform pula, para pelajar boleh berbincang tentang sesuatu aktiviti itu dengan meluas. Pelajar akan memperoleh kemahiran mengikut arahan ketua, disiplin dan pengalaman tertentu. Sesungguhnya, hubungan pelajar dengan guru menjadi lebih rapat kerana guru akan membimbing mereka dalam setiap tindakan itu.
Selain itu, aktiviti berunsur kelab dan persatuan seperti berbalas pan tun dan quiz serta syarahan banyak membawa impak positif terhadap interaksi guru dengan pelajar. Perancangan dan kerjasama serta muafakat diperlukan antara guru dengan pelajar untuk berjaya dalam program seperti ini. Kekerapan pelajar dan guru berinteraksi menyebabkan mereka saling memahami dan sedar kelebihan masing-masing pula.
Konklusinya, hubungan yang baik dan rapat memang terjalin apabila aktiviti kokurikulum diadakan di sekolah kita. Keadaan ini boleh menyumbang ke arah kejayaan mutlak dalam peperiksaan umum pula. Bak kata orang tua-tua “bagai aur dengan tebing” yang membuktikan bahawa kerjasama guru dan pelajar itu penting untuk kejayaan sesebuah sekolah.

AKIBAT MEROKOK


Kerajaan telah kerap kali menaikkan harga rokok dengan harapan agar bilangan perokok di Malaysia akan berkurangan. Namun begitu, kenaikkan harga bukan sahaja tidak berjaya untuk mengurangkan bilangan perokok malahan bilangan perokok telah semakin meningkat. Sedarkah mereka akan akibat yang bakal menimpa kepada diri perokok dan juga keluarga mereka yang tersayang?
Nikotin merupakan sejenis bahan yang boleh dijumpai dalam rokok. Nikotin akan menyebabkan perokok ketagih untuk merokok. Ketagihan ini akan menyebabkan si perokok menghisap rokok dengan lebih kerap lagi. Sebagai contoh, perokok mungkin akan hanya menghisap dua batang rokok sehari tetapi setelah satu minggu merokok, perokok itu mungkin merokok lebih daripada lima batang sehari.
Merokok juga akan membawakan banyak masalah kesihatan yang serius dan berpanjangan seperti kanser hidung, penyakit jantung, dan kanser paru-paru. Apabila si perokok menghidap penyakit tersebut, bukan sahaja mereka harus membayar kos perubatan yang tinggi tetapi mereka juga akan ?menyusahkan ahli keluarga mereka untuk menjaga mereka.
Asap-asap rokok yang dihembuskan oleh perokok merupakan ancaman kepada mereka yang berada di sekeliling perokok. Mereka yang terhisap asap rokok dikenali sebagai perokok pasif. Perokok pasif adalah lebih berbahaya jika dibandingkan dengan perokok aktif terutamanya jika perokok pasif itu adalah kanak-kanak.
Merokok itu membawa padah. Merokok bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan diri sendiri tetapi juga mereka yang berada di sekeliling anda. Cegahlah diri anda daripada rokok.

KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG


Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.
Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.
Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.
Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.
Pengarang: Noor Azman Mahat

OUR GROUP MEMBERS

SYAFIQAH NADIAH PUTERI ATHIRA AININ AINIS DURRATUL PUTRI ZULAIKHA ASMA